Wednesday 3 June 2009

Chin Peng dan Fahaman Komunis

Banyak telah diperkatakan mengenai keputusan Perdana Menteri untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang ke Setiawan Perak kerana kekejaman komunis di Malaya 'untuk tidak melukai perasaan' rakyat Malaysia.

Testimoni mereka yang berjuang menentang komunis dan kisah mereka yang menyentuh perasaaan sama ada bangsa Melayu dan Cina diketengahkan di media masa utama Malaysia. Itu ialah hakikat.

Beberapa persoalan perlu penjelasan. Adakah rejimen komunis pejuang kemerdekaan? Jawapannya: ya! Malah telah diiktiraf oleh British yang mengurniakan Chin Peng anugerah Order of British Empire (OBE) setakuk sebelum gelaran Sir. Adakah tindakan komunis kejam terhadap rakyat Malaysia? Jawapannya : ya! Testimoni mereka yang disiksa dan menyaksikan pembunuhan saudara yang terdekat tidak boleh disangkal.

Sekarang persoalan lain timbul. Kenapa kekejaman Jepun boleh dimaafkan tetapi kekejaman komunis tidak boleh ? Atau kenapa orang seperti Abdullah CD (bekas komunis) boleh kembali ke Malaysia sedangkan Ching Peng tidak? Generasi lama sudah tentu ingat kekejaman Jepun. Duit Jepun di Malaya semasa tahun 1942 sehingga 1945 tidak laku. Mungkin Jepun mempunyai nilai komersial sekarang sedangkan Ching Peng tidak.



Kekeliruan yang amat ketara di kalangan orang Melayu ialah persoalan di antara kefahaman komunis dan akidah Islam. Seumpama kelirunya orang Cina dan orang India di Malaysia apabila mengatakan masuk Islam sama macam masuk Melayu. Ada yang marah-marah apabila mendapati di perkampungan bekas komunis ada masjid dan Abdullah CD dan isterinya telah mengerjakan haji.

Mereka berkefahaman komunis dari segi ideologinya berusaha untuk membebaskan Malaysia dari penjajah serta mempunyai prinsip sama rata dari agihan kekayaan negera kepada rakyatnya. Serupa seperti mereka yang berideologikan kapatalisme yang membenarkan hak milik harta oleh mereka yang berusaha dan membenarkan kemiskinan di negara mereka.

Bagi Islam kedua-dua idealogi ini adalah mungkar. Kiranya kita mengatakan komunis adalah sesat, mereka yang berkefahaman kapatalisme juga amat sesat. Umat Islam wajib berusaha untuk menegakkan ideologi Islam dalam segala aspek kehidupan. Sudah tentu mereka tertanya di mana modelnya.

Saya boleh beritahu dengan jelas. Banyak kelompok Islam yang berusaha gigih untuk menegakkan syariah Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia demi untuk keharmonian umat manusia keseluruhannya. Bukankah Nabi Muhammad diutuskan untuk memberi rahmat kepada seluruh manusia. NGO seperti JIM dan ABIM berusaha ke arah itu.

Berbalik kepada persoalan 'Haruskah Malaysia membenarkan Ching Peng balik ke Setiawan Perak?'. Jawapan saya ialah: Chin Peng perlu 'bertaubat nasuha' dan 'bertanggungjawab di atas perbuatan partinya' kiranya dia ingin benar-benar kembali. Juga ingatan yang sama kepada mereka yang masih berkefahaman kapatalisme!

2 comments:

Dr Fakhruldin said...

Suatu perspektif yang menarik bila diketengahkan aspek kekejaman "regim" tertentu - samada dari pihak Parti Komunis Malaya atau Tentera Imperial Jepun atau British Armed Forces. Kalau diukur dari aspek ini, maka kesemuanya perlu taubat atas apa yang telah dilakukan terhadap Malaya ketika itu. Dari aspek bangsa, ramai juga pimpinan komunis yang telah "diampunkan" termasuklah Samsiah Fakeh.

Dalam konteks era moden ini, mereka yang terlibat secara langsung dalam menjalankan "kekejaman sosial" i.e. mega-swindlers, harus dipertimbangkan untuk dibuang negeri.

Wallahu'alam

FMH

Orang Parit said...

Terima kasih kepada Dr. Fakhruldin di atas pandangan. Aspek 'kekejaman sosial' amat menarik untuk dikupas.